Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menerima Buku Asal Usul Melayu, Induknya Di Benua Sunda dari Penulis, Wan Hashim Wan Teh sambil diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (empat kanan) dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussien (empat kiri) pada Majlis Rumah terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan buku ‘Asal Usul Melayu Induknya di Benua Sunda’, yang mengumpulkan dan menceritakan beberapa idea mengenai sejarah asal usul Melayu dan perjalanan sejarahnya.

Najib, yang juga presiden UMNO, melancarkan buku berkenaan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di sini.

Buku itu adalah hasil tulisan tiga penyelidik iaitu Zaharah Sulaiman, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, yang merupakan pakar arkeologi daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Buku itu diterbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penyelidik dan penulis utama buku itu, Zaharah berkata beliau menghabiskan masa selama tujuh tahun mengumpulkan bahan dan membuat rujukan lebih 1,000 sumber penyelidikan daripada pakar genetik genom manusia bagi melengkapkan buku tersebut.

“Melalui kajian ini, saya berharap ia dapat menghapuskan segala persepsi negatif mengenai asal-usul bangsa Melayu serta menjadi rujukan untuk tujuan penyelidikan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku itu.

Turut menghadiri majlis pelancaran itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden UMNO dan menjalankan tugas timbalan presiden parti.- BERNAMA