Khir toyo
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri Zahrah Kechik - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Dr. Mohamad Khir Toyo membidas dakwaan Ku Nan yang mendakwa beliau punca kekalahan Selangor kepada pembangkang pada tahun 2008.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, pimpinan UMNO itu mungkin lupa pada tahun yang sama banyak negeri lain juga tumpas kepada pembangkang.

“Barisan Nasional Selangor masih tidak tahu mengapa mereka kalah teruk dalam pilihan raya 2013.

“Mereka beranggapan kekalahan BN Selangor pada 2008 kerana saya. Mereka lupa BN juga kalah di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan,” ujarnya dalam kenyataan bertajuk Jalan Mudah Memijak Mereka Yang Diam hari ini.

Kenyataan itu dilihat merujuk kepada kenyataan Ku Nan atau Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Petaling Jaya kelmarin.

Ku Nan dilaporkan mendakwa salah satu punca kekalahan BN di Selangor disebabkan isu kuil, pemberian penyapu pada zaman Mohamad Khir.

“Malangnya pada 2013 tanpa saya, BN Selangor kalah lagi teruk. BN rampas Perak dan Kedah, namun nyaris kalah di Terengganu.”BN Terengganu tinggal majoriti dua kerusi,” tambah Mohamad Khir.

Menurutnya, masalah dalam BN dan UMNO ialah mereka tidak berani membuat penilaian sebenar, hidup dalam kepura-puraan mengenai persepsi rakyat.

“Mereka bersorak menang besar di Sungai Besar. Sebelum PRK semua diminta bersatu dan membantu parti. Selepas menang, jasa dan sumbangan milik orang tertentu sahaja.

“PRK Sungai Besar, undi yang diterima calon Barisan Nasional, YB Budiman Mohd Zohdin hanyalah 16,800 undi berbanding undi yang diterima oleh Allahyarham Noriah Kasnon sebanyak 18,695 undi. Bayangkan undi merosot hampir 2000.

“Jadi kuat di mana kita? Kuat hanya kerana pihak musuh berpecah, Jika esok mereka bersatu, apa strategi kita?” soalnya.- MalaysiaGazette