Percikan bunga api menandakan gimik pembukaan secara rasmi Kejohanan Sukan Sea KL 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Setelah lima hari acara bermula, akhirnya Sukan SEA kali ke-29 (KL2017) yang bertemakan Bangkit Bersama dibuka secara rasmi malam ini dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan disaksikan lebih 80,000 penonton.

Kejohanan paling berprestij di Asia Tenggara itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V diiringi pembacaan ikrar oleh atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa.

Kemuncak upacara pembukaan rasmi KL2017 apabila obor temasya dinyalakan oleh atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri bagi menandakan bermulanya kejohanan itu sehingga 30 Ogos ini.

Antara tetamu kehormat yang hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan barisan menteri kabinet.

Ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dengan kali terakhir pada 2001, menyamai rekod Thailand.

Seperti dijanjikan, kecanggihan teknologi yang dimiliki Stadium Nasional Bukit Jalil terutama dari segi pencahayaan dan bunyi telah memukau upacara pembukaan yang dibantu kira-kira 2,000 peserta yang menjayakan persembahan.

Upacara pembukaan dimulakan dengan persembahan nyanyian sebelum gimik maskot Rimau yang terbang menggamatkan suasana di Stadium Nasional.

Pertunjukan bunga api menjelang pembukaan Sukan Sea ke 29 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 OGOS 2017

Selain itu, konsep persembahan pelbagai kaum turut mencuri perhatian penonton pada kali ini yang disifatkan kreatif.

Lagu tema KL2017 berjudul Bangkit ciptaan Datuk Ramli MS telah dinyanyikan oleh penyanyi popular, Dayang Nurfaizah.

Sementara itu, acara perarakan kontinjen dimulakan oleh Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos serta diteruskan dengan kontinjen Myanmar, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan penonton tuan rumah bersorak apabila kontinjen Malaysia memasuki stadium.

Suasana menjadi gamat apabila penonton semua bangun untuk memberi penghormatan kepada kontinjen Malaysia yang diwakili 844 atlet dan 390 pegawai yang mengenakan pakaian baju Melayu dan baju kurung bertema biru dan merah.

Perarakan didahului Ketua Kontinjen Negara, Datuk Marina Chin dan tiga juara dunia iaitu jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang, ratu terjun Cheong Jun Hoong dan pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Kontinjen negara yang berbaris malam ini kelihatan lebih bersemangat memandangkan Malaysia ketika ini mendahului kedudukan pingat emas setakat pukul 6 petang tadi.

Beberapa acara sudah bermula lebih awal dan pasukan negara berjaya meraih tujuh pingat emas, empat perak dan lima gangsa dengan mengatasi Singapura yang berada di kedudukan kedua dengan tiga pingat, masing-masing emas, perak dan gangsa.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran sebanyak 111 pingat emas sekaligus muncul sebagai juara keseluruhan dalam temasya terbesar di Asia Tenggara itu.
KL2017 akan berlangsung membabitkan penyertaan kira-kira 5,000 atlet dari 11 negara dalam 404 acara daripada 38 jenis sukan.

Sementara itu, Stadium Nasional yang terletak di Bandar Sukan Kuala Lumpur, baharu sahaja menjalani kerja naik taraf dan pengubahsuaian, boleh menempatkan sejumlah 85,000 penonton dalam satu masa. – MalaysiaGazette