KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan melakukan tangkapan lagi berhubung kes rasuah bernilai RM1.5 bilion di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, tangkapan akan dilakukan hari ini dan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Beliau menjelaskan, Sabah kini menjadi negeri tumpuan untuk membanteras rasuah selepas SPRM berjaya menyelesaikan kes penyelewengan terbesar kes Jabatan Air Sabah pada tahun lalu.

“Selepas menjalankan siasatan kes ‘Watergate’, kami mendapat banyak maklumat berhubung isu rasuah di negeri itu termasuk pendedahan terbaharu berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Namun kes tahun lalu melibatkan jabatan negeri manakala kes terbaharu RM1.5 bilion adalah peruntukan kerajaan pusat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media pratonton teater Bahara Emas terbitan SPRM di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini petang tadi.

Dzulkifli turut menjelaskan, kekangan kakitangan ketika ini menyebabkan SPRM terpaksa menumpukan operasi kepada kes besar terlebih dahulu.

Beliau berjanji tindakan sama akan dijalankan di negeri lain pada masa hadapan.

“Sejak (tahun) 2008 kita dijanjikan seramai 5,000 keanggotaan kerana setakat ini kita hanya ada 3,000 pegawai sahaja termasuk anggota sokongan,” katanya.

Ditanya sama ada bekas menteri KKLW, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan disoal siasat, Dzulkifli  berkata, sesiapa sahaja boleh dipanggil untuk membantu kes di Sabah itu.

Pada Jumaat lalu, SPRM mereman dua individu termasuk naib presiden sebuah parti tempatan di Sabah bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana itu.

Pada hari yang sama dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, dianggarkan RM1.5 bilion peruntukan kerajaan pusat untuk melaksanakan projek di Sabah sejak tahun 2009 hingga tahun 2015 disyaki diseleweng sebuah kementerian. – MalaysiaGazette

Comments are closed.