Tan Sri Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini digesa agar menyokong dan menghayati saranan Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebuah agensi penguatkuasa undang-undang yang profesional, dihormati, berintegriti dan cekap.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, aspirasi Mohamad Fuzi dalam membasmi isu rasuah dan meningkatkan intgeriti PDRM harus dipandang serius tertutamanya kepada anggota polis sendiri.

“Saya percaya usaha KPN memerangi rasuah sehingga ke akar umbi termasuk memberi tumpuan kepada pegawai muda akan mencapai kejayaan jika ia mendapat sokongan penuh warga PDRM dan masyarakat.

“Sebagai salah sebuah agensi penguatkuasaan undang undang yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PDRM sebenarnya telahpun mengorak langkah untuk melaksanakan fokus kedua iaitu menangani isu rasuah dan memupuk integiriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi semalam mengulangi amaran kepada warga polis supaya menjauhi rasuah dan sentiasa memberikan perhatian terhadap isu integriti.

Beliau mengulangi empat fokus utama sejajar usaha memelihara integriti dan memulihkan imej PDRM di mata masyarakat, selain dalam pasukan sendiri.

Antaranya, mengutamakan perkara asas dan pematuhan prosedur ketika menjalankan tugas, menandatangani Ikrar Bebas Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membanteras judi, jenayah bersindiket, gangsterisme, maksiat dan dadah dan memperkasa polis melalui inovasi dan teknologi berteraskan Intelligence-Led Policing (ILP).

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, PDRM perlu membuat pembersihan dalaman agar anggota yang bersekongkol dengan mana-mana penjenayah dapat dikenalpasti dan diambil tindakan tegas.

“Kita tidak boleh membiarkan tindakan segelintir anggota ini berubah menjadi nanah dan barah yang merosakkan keseluruhan organisasi PDRM,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.