Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah merasakan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hanya cuba menjadi seorang populis songsang dalam isu kenaikan harga minyak.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, cadangan Mukhriz yang mahu mengembalikan subsidi minyak secara keseluruhan tanpa memberi jalan keluar konkrit diibaratkan tindakan tidak bertanggungjawab.

“Tindakannya yang sentiasa bermain politik, menabur maklumat separa benar semestinya menggambarkan bahawa beliau adalah semata-mata pemain politik diperingkat kedai kopi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, Mukhriz hanya memberi alasan mahu perbelanjaan berhemah tetapi gagal memberi penyelesaian akan kehilangan RM40 bilion pendapatan negara akibat penurunan harga minyak dunia

“Pemuda UMNO Kedah percaya dasar kerajaan menstruktur kembali subsidi dan pada masa yg sama memulangkan sejumlah penjimatan tersebut kepada kumpulan yang lebih bersasar adalah pendekatan yang paling baik

“Hakikatnya Pemuda UMNO ingin mengingatkan rakyat pada zaman siapa negara kita paling banyak berhutang kalau tidak zaman Tun Dr. Mahathir?

“Pada zaman itu hutang negara adalah setinggi 103 peratus daripada pendapatan kasar negara berbanding hanya 50 peratus pada zaman sekarang,” katanya.

Menurutnya, sekalipun harga minyak kembali stabil dan kerajaan berjaya mengembalikan pendapatan sejumlah RM40 bilion, pihaknya percaya kita tidak harus kembali mengamalkan model ekonomi yg lama.

Dasar ekonomi sedia ada perlu diteruskan dan pada masa yg sama subsidi sebenar seharusnya dinikmati oleh kumpulan sasar yg tepat dan tidak secara pukal,” katanya.-MalaysiaGazette