Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) mendengar penerangan Pengarah Hektar Aneka Sdn. Bhd., Datuk Rozabil Abdul Rahman (dua kanan) mengenai pembangunan Residensi Hektar di Setapak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Terdapat pemaju yang kini mula tidak senang dengan program perumahan murah yang diperkenalkan oleh kerajaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, sebagai contoh langkah kementeriannya memperkenalkan program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang mana harga kediaman dijual di bawah harga pasaran mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan pemaju-pemaju hartanah.

“Rumahwip yang ditawarkan ini sebenarnya dijual bawah harga pasaran, itu lah banyak pemaju besar marah dengan saya dan juga Perdana Menteri kita kerana kita buat program untuk rakyat dan kami ditekan harga,” kata beliau semasa merasmikan pendaftaran Rumahwip bagi Residensi Gombak 126 hari ini di Setapak.

Tengku Adnan berkata, walaupun dilihat mustahil untuk menyediakan rumah yang berharga bawah harga pasaran terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur, namun kerajaan berjaya melaksanakannya hasil daripada program yang diperkenalkan itu.

“Kamu tidak boleh bayangkan di Kuala Lumpur kamu boleh membeli seunit rumah RM42,000, tidak pernah berlaku

“Hal ini kerana saya dan Perdana Menteri kerana kami di kementerian sangat inovatif dengan saya mencipta program ini untuk beri peluang kepada warga kota membeli rumah-rumah ini,” ujarnya.

Menurutnya, pemaju tersebut tidak senang dengan langkah kerajaan kerana mereka tidak dapat lagi mengaut untung besar.

“Jadi banyak yang marah kerana dahulu mereka boleh mendapat keuntungan berlipat ganda, hari ini pemaju minta maaf saya kata kamu tidak boleh buat untung berlipat ganda lagi.

“Kamu boleh buat untung tapi mesti lah dengan jumlah yang munasabah bukan dengan harga tinggi sehingga rakyat kita tidak dapat membeli rumah dan akhirnya ia akan dijual kepada orang kaya dan juga warga asing, kita cuba tangani perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menyatakan keyakinan sasaran kementerian untuk menyediakan 80,000  rumah menjelang 2020 dapat ditunaikan.

“Apa yang disebut dalam manifesto pilihan raya lepas, dimana kerajaan Wilayah Persekutuan akan menyediakan 80,000 rumah menjelang 2020, percaya saya sekarang ini kami sudah bina 76,000 rumah, 84 peratus sudah berjaya dibina,” katanya. – MalaysiaGazette