Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh

KUALA LUMPUR – Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan menjadi pilihan raya terakhir buat Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh untuk bertanding.

Ghafur yang kini berumur 75 tahun berkata, kali ini beliau masih mendapat kepercayaan mempertahankan kerusi Parlimen Kalabakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun sebelum itu sudah bersedia untuk memberi laluan kepada calon muka baharu.

“Ikut saya, saya sudah cukup lama dalam politik ini, saya memang tidak mahu sudah tetapi Perdana Menteri tahan saya lagi untuk satu penggal.

“Saya terbuka untuk melepaskan kepada calon ini tapi PM tidak setuju beliau cakap ini penggal terakhir (bertanding pada PRU-14) untuk saya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Ghafur merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri selama dua tahun sejak tahun 1996.

Anak jati Tawau itu mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tawau dan di peringkat menengah di Sekolah Holy Trinity, Tawau.

Beliau memulakan karier politiknya awal tahun 70-an dengan menyertai Parti Berjaya dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada pilihan raya tahun 1976 tetapi tewas kepada calon USNO.

Bagaimanapun, beliau berjaya memenangi kerusi DUN Merotai pada pilihan raya 1981 dan mempertahankannya pada tahun 1985 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Ghafur kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai UMNO pada tahun 1991 dan setahun kemudian dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Tawau.

Pada pilihan raya 1994, beliau sekali lagi menang di DUN Merotai, pada 1999 beliau bertanding pula DUN Kalabakan sebelum diwartakan sebagai Parlimen bermula tahun 2004.

Dari tahun 2004 sehingga kini Ghafur berjaya mengekalkan kerusi yang disandangnya. -MalaysiaGazette