P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P Ramasamy mendakwa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tabung Haji dan Felda mungkin menjadi ‘kad Trump’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghalang kerjasama UMNO-Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, selepas menikmati kejayaan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, UMNO dan Pas dijangka mengulangi kerjasama berkenaan pada PRN Melaka yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Inilah yang menjadi kebimbangan Anwar sehingga mempercepatkan siasatan SPRM terhadap skandal kewangan Tabung Haji dan Felda yang telah menggemparkan negara.

“Sekiranya UMNO bersedia bekerjasama dengan Anwar, siasatan terhadap kedua-dua agensi Persekutuan ini mungkin telah dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata, siasatan dan pendakwaan terhadap sebahagian besar pemimpin UMNO merupakan tekanan yang berada dalam tangan Anwar untuk mempengaruhi pendirian parti itu.

“Siasatan dan pendakwaan terhadap sebahagian besar pemimpin UMNO merupakan ‘kad Trump’ yang berada dalam tangan Anwar.

“Sama ada “kad Trump’ ini mampu menghalang UMNO daripada menjalinkan kerjasama dengan Pas, masih belum dapat dipastikan,” ujarnya.

Dakwa beliau lagi, pemimpin UMNO tidak berpuas hati dengan Anwar kerana membuka semula siasatan berkenaan yang didakwanya bertujuan menghalang kerjasama politik parti itu dengan Pas.

Ramasamy berkata, Anwar mungkin beranggapan siasatan dan pendakwaan tersebut dapat membantu menggagalkan kerjasama UMNO-Pas pada PRN Melaka.

“Siasatan dan pendakwaan mungkin mengambil masa yang panjang, mungkin empat atau lima tahun atau lebih, memandangkan adanya ruang untuk membuat rayuan,” katanya lagi.

Beliau berkata, UMNO ketika ini perlu meneruskan kerjasama dengan Pas di Melaka bagi memastikan kekalahan Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya semakin lemah.

“Perhitungan UMNO pada masa ini ialah bahawa ia harus meneruskan kerjasama dengan Pas di Melaka bagi memastikan kekalahan PH yang semakin lemah.

“Kemenangan di Melaka sudah memadai bagi pihak pembangkang untuk mendesak supaya pilihan raya umum diadakan,” ujar beliau.

Ramasamy berkata, sekiranya Anwar melengah-lengahkan pilihan raya umum, BN berkemungkinan menarik balik sokongannya terhadap perdana menteri itu.

“Sekiranya Anwar melengah-lengahkan pilihan raya, BN akan menarik balik sokongannya terhadap Anwar.

“Saya tidak fikir Anwar mempunyai legitimasi politik untuk terus memerintah sekiranya UMNO dan sekutunya menarik balik sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan usaha melemahkan legitimasi UMNO menerusi siasatan dan pendakwaan mungkin menghasilkan kesan yang bertentangan.

“Saya mempunyai perasaan yang agak pelik bahawa usaha untuk melemahkan legitimasi UMNO melalui siasatan dan pendakwaan mungkin menghasilkan kesan yang bertentangan,” ujarnya.

Ramasamy turut mendakwa wujud khabar angin bahawa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang telah bersara secara rasmi, sebenarnya masih membantu Anwar memburu beberapa pemimpin UMNO yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan.

“Jika demikian, adakah Anwar benar-benar akan mengambil tindakan terhadap Azam berhubung penglibatannya dalam pasaran saham yang melebihi had yang dibenarkan serta kewujudan mafia korporat semasa beliau memegang jawatan?

“Jelas bahawa Azam kini lebih diperlukan berbanding sebelum ini. Persoalannya, siapakah sebenarnya ketua sebenar atau ketua de facto SPRM pada masa ini?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here