Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

KUALA LUMPUR – Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Syah merupakan seorang sultan dan bekas Yang Dipertuan Agong yang sangat komited terhadap tugasnya.

Meskipun diangkat sebagai Agong buat kali kedua pada usia 80-an, almarhum tetap meneruskan tugas rasmi baginda tanpa culas.

Menurut cucunda baginda, Raja Sarina Raja Iskandar, terdapat banyak acara yang dihadiri almarhum ketika baginda sebenarnya sedang gering dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya lihat Tok (panggilan Raja Sarina kepada almarhum) tidak makan kerana sedang berlatih menyampaikan ucapan atau menyiapkan kerja dalam pejabat yang mana siapa lelaki berusia lebih 80 tahun yang sanggup buat begitu?

“Kebanyakan dari kita mengimpikan untuk bersara pada usia 50 tahun tetapi Tuanku tidak walaupun boleh berbuat demikian.

“Banyak kali saya lihat Tuanku terpaksa menghadiri acara-acara rasmi meskipun sedang gering dan menjalani rawatan di hospital.

“Di saat Tuanku meninggalkan wad dan bertugas sebagai Sultan dan Agong, saya lihat Tuanku berlakon seperti orang yang sihat, menyantuni Perdana Menteri dan tetamu yang lain.

“Tetapi selepas majlis tamat, Tuanku kembali ke wad dan membiarkan badan Tuanku dipasang tiub dan wayar.

“Sesungguhnya Kedah dan Malaysia kehilangan seorang tokoh yang sangat hebat,” catat Raja Sarina dalam laman instagramnya hari ini.

Almarhum disahkan mangkat pada jam 2.30 petang tadi.

Baginda diputerakan di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah sebagai Tunku Abdul Halim pada 28 November 1927.

Baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah bersama Tunku Safiah binti Tunku Mahmud, namun putera tertua yang hidup. Baginda kemudian menjadi Raja Muda Kedah pada 1949.

Baginda merupakan lepasan Wadham College, Oxford, di mana baginda memperoleh diploma dalam Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.

Baginda mewarisi takhta Kedah ayahandanya pada Julai 1958 dan ditabalkan pada Februari 1959. – MalaysiaGazette