Pengasas produk kecantikan dan kesihatan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman semalam membuat laporan polis berhubung kewujudan lima akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya.

Laporan tersebut dibuat Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida di Balai Polis Daerah Subang dekat sini pagi tadi oleh wakilnya, Eddy Casmady.

Eddy berkata, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kami dari pihak Vida memiliki segala maklumat pemilik akaun palsu ini termasuk alamat Protokol Intrenet (IP) mereka. Mereka ini telah mencuri telah akaun Facebook Sayang-Sayang DSV dan mencuri segala gambar serta video Vida dengan niat untuk mengelirukan orang ramai.

“Laporan polis ini dibuat untuk mendakwa pihak tidak bertanggungjawab ini dengan membawa ke muka ke pengadilan. Untuk pengetahuan semua, akaun Facebook Dr. Vida yang asli adalah Sayang-Sayang DSV@sayangsayangdsvofficial,” katanya menerusi rakaman video di laman sosial Instagram milik Vida.

Sementara itu, bercakap kepada MalaysiaGazette, Vida berkata, laporan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pengikutnya kerana akaun tersebut turut menjanjikan pelbagai hadiah lumayan kepada pengikut seperti beg tangan berjenama secara percuma.

Pada 8 April lalu, Vida turut membuat laporan polis berhubung kewujudan beberapa akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya.

Selain laporan polis, penaja utama program Gegar Vaganza musim ketiga itu juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat.–MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast