Rafizi menyampaikan ceramah dalam Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) terakhir di Hotel New York, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU –  Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kuasanya agar parti tidak lagi dengan mudah membenarkan ahli baharu untuk bertanding pilihan raya dan pemilihan parti.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, pelepasan dengan mudah itu bukan sahaja memalukan parti malah tidak menghormati kesetiaan, jerih payah dan pengorbanan ahli parti yang terlebih dahulu sudah berjuang sejak parti itu ditubuhkan.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi itu berkata, tujuannya bagi mengelakkan PKR dibanjiri anggota yang tidak ikhlas dan setia berjuang sebaliknya hanya mengejar jawatan atau laba politik.

“Ini adalah suara akar umbi kepada presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini ada satu kuasa diberikan iaitu walaupun anggota parti tidak cukup setahun menjadi ahli namun dengan pelepasan presiden, ahli (baharu) boleh dibenarkan bertanding pilihan raya.

“Ini (pelepasan ini) harus dibatal, dimansuhkan. Ia memalukan parti. Setuju tak, lepas ini mesti jadi anggota parti sekurang-kurangnya lima tahun sebelum boleh bertanding.

“Bagaimana seorang bekas Bendahari MIC, hanya selepas masuk parti enam bulan boleh bertanding pilihan raya di kawasan Parlimen selamat. Kemudian dilantik jadi timbalan menteri dan tidak sampai dua tahun kini bertanding jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan.

“Anggota setia PKR macam kami ambil masa panjang sebelum dapat peluang bertanding. Jika terbukti ikhlas berbakti dan berjuang tanpa balasan untuk parti, saya yakin akar umbi akan akan angkat kamu jadi calon pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) terakhir di Hotel New York di sini malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun; Chang Lih Kang dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan Calon Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menegaskan,  PKR kini dibanjiri golongan oportunis yang mahu mendapatkan laba dan ganjaran politik terutama jawatan.

Katanya, dalam mana-mana parti termasuk PKR tidak terkecuali wujud dua golongan iaitu buat kerja untuk menggerakkan parti dan golongan yang berpusu-pusu mahu mendapatkan ghanimah (rampasan perang) atau laba politik.

“Selepas ini, saya yakin tidak berada dalam barisan kepimpinan, saya nak sebut secara terbuka mengenai kumpulan yang menangguk di air keruh.

“Orang lain bersusah payah berjuang demi parti ketika susah namun bila parti dalam keadaan senang dan menang, golongan ini muncul.

“Memang PKR parti derita tetapi ramai yang masuk tak derita. Jangan sesekali benarkan kumpulan yang begini mengambil alih parti kerana nampak gayanua ia akan jadi begitu.

“Sebab itu kita marah, masa susah buat kerja orang lain, masa menang orang lain timbul. Namun bila dah menang, bukan nak tunjuk muka di bawah. Pimpinan jangan nampak yang itu sahaja dan lupa yang lama di bawah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast