Rakyat Malaysia mungkin lebih sukar untuk mendapat kelulusan visa untuk melawat Amerika Syarikat dengan terpilihnya Donald Trump sebagai presiden baharu.
Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Kepimpinan dan Strategi (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, sikap anti-Muslim Trump mungkin dipamerkan dalam dasar imigresen Amerika Syarikat.
Menurutnya, kejayaan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat adalah membimbangkan.
“Hari ini seperti Jepun menyerang Pearl Harbour di mana ia menyebabkan bermulanya Perang Dunia Kedua.
“Semua orang tengah bimbang dan mengambil berat akan impak Trump kepada semua negara,” katanya kepada Sinchew Daily.
Ramon berkata, pelantikan Trump sebagai presiden mungkin bukan sesuatu yang baik untuk dunia, dan ekonomi global juga akan lebih ‘berwaspada’ melainkan presiden Republikan itu membuktikan keadaan sebaliknya.
Katanya lagi, negara Islam dan Timur Tengah tidak akan gembira manakala negara jiran Amerika Syarikat iaitu Mexico juga akan berasa bimbang dengan Trump.
“Untuk Malaysia pula, apakah hala tuju Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)?” katanya.