ALOR GAJAH – Dua penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas ketiga-tiga motosikal mangsa terbabas dalam nahas yang turut membabitkan sebuah lori Kilometer 220.2 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, pekerja kilang Farith Aiman Mohd Fairus, 21, kakitangan loji penapisan minyak, Mohamad Shahril Anuar, 45, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, seorang lagi penunggang motosikal lain, remaja lelaki, R. Jeevankumar, 18, cedera di bahagian kiri tangan dan kaki.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga motosikal mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah utaran menuju ke Melaka. Sebaik tiba di lokasi motosikal jenis Honda RS150R ditunggang Farith Aiman terlanggar belakang kiri sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kiri dan terjatuh ke lorong kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Ashari, motosikal mangsa kemudian melanggar dua lagi motosikal lain di hadapannya menyebabkan mangsa kedua meninggal dunia manakala seorang lagi cedera.
“Mangsa maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala seorang lagi yang cedera dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















