Biarpun kelihatan sibut membuat ‘road show’ di pusat membeli-belah Mydin ketika ini sempena mempromosikan album terbaharunya dengan single Andainya Takdir, penyanyi popular Anuar Zain tampil membuat kejutan buat peminatnya.
Ini kerana akhirnya penantian mereka yang ternanti-nanti konsert penyanyi itu akan bakal tertunai apabila sebuah konsert dikenali Konsert Anuar Zain & You akan dibawakan oleh Yonder Music Live Series by The Lake.
Konsert itu akan memeriahkan jendela tahun baharu kerana berlangsung pada 21 Januari ini di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Yonder Music, Adam Kidron berkata, hanya 2,000 tiket dibuka untuk jualan dalam lima kategori harga.
Harga-harga berkenaan meliputi RM888 (VVIP, Zon A); RM788 (VIP, Zon B); RM588 Zon C; RM488 Zon D) dan RM388 bagi Zon E.
Barangkali harga tiket-tiket yang ditawarkan itu agak tinggi namun Anuar ada jawapan tersendiri.
“Saya akui mungkin ada yang akan berfikir berkali-kali untuk membeli tiket dengan harga sebegitu.
“Tetapi saya yakin peminat yang setia dan dahagakan konsert live terutama dibawakan pula oleh Yonder Music yang bertaraf antarabangsa serta menitikberatkan konsert berkualiti, ia tentu berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.
“Saya akan memberikan persembahan terbaik agar peminat berpuas hati dan saya yakin ramai peminat setia akan hadir,” katanya pada sidang media konsert itu semalam.
Selama 90 minit, Anuar Zain bakal mendendangkan 14 buah lagu lama dan baharu diiringi 14 pemuzik di bawah pengarah muzik tersohor, Sze Wan dan pengarah persembahan, Jennifer Thompson.
Peminat boleh membuat tempahan melalui www.ticketcharge.com.my bermula 9 Disember ini. – MalaysiaGazette