Harith Iskandar

Pelawak, Harith Iskandar menafikan beliau hanya mengucapkan terima kasih kepada peminatnya di Johor sahaja atas kemenangannya sebagai johan Laugh Factory’s Funniest Person In The World.

Menurutnya, ada segelintir netizen yang tidak berpuas hati dengan salah satu status media sosialnya yang memaparkan kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada peminat Bangsa Johor yang menyokongnya.

“Mereka anggap yang saya mengucapkan terima kasih hanya kepada orang Johor dan bukan dengan orang lain yang memberi sokongan kepada saya.

“Jelas mereka yang anggap begitu tak sempat ataupun tak baca langsung beberapa post sebelum itu dimana saya bertungkus lumus mengucap terima kasih kepada kesemua golongan penyokong yang lain yang selama-lama ini tak habis-habis support saya,” katanya dalam satu status terbaharunya hari ini.

Harith yang baru sampai dari Finland menyertai pertandingan itu memberitahu, post ‘Bangsa Johor’ yang ditulisnya itu khususnya untuk kawan-kawan blogger, pihak media sosial dan pihak media dari Johor yang berpenat-penat menyokongnya.

“Mungkin salah saya sebab tak memperjelaskan perkara ini. Tidak apa. Kadang-kadang orang faham apa yang mereka nak faham.

“Saya tak boleh kawal persepsi orang, apa yang saya boleh buat, adalah pastikan niat saya positif,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyatakan hasratnya menjadikan stand up comedy untuk menyatukan orang dan beliau akan melakukannya sebaik mungkin.

Beliau juga berhasrat untuk mengadakan kenduri kepada semua pihak yang menyokongnya kerana mahu mengucapkan terima kasih tidak lama lagi.–MalaysiaGazette