Felcra

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Bhd tidak lagi berminat dan menghentikan semua usaha untuk mengambil alih ekuiti dalam Kuantan Flour Mills Bhd (KFM).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, KFM berkata, ia menerima surat daripada Felcra pada Rabu, memaklumkan yang ia tidak lagi berminat ke atas KFM.

“Dengan itu, surat Felcra bertarikh 9 Disember tidak lagi mempunyai sebarang kesan,” katanya dengan menambah yang Felcra sebelum ini menyatakan minat untuk meneroka kemungkinan terlibat dalam ekuiti KFM berdasarkan cadangan pengambilalihan berbalik.

Dalam makluman berasingan, KFM hari ini memohon penggantungan dagangan sahamnya di Pasaran Utama Bursa Sekuriti, sementara menunggu satu pengumuman penting.

Saham KFM kali terakhir diniagakan pada 24.5 sen.

Kerugian sebelum cukai KFM untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2016 turun kepada RM12.09 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM16.85 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan merosot kepada RM3.92 juta berbanding RM24.84 juta sebelum ini. – Bernama