PULAU PINANG – Etnik Cina tidak kira di dalam atau luar China berpegang kepada pendirian bahawa hanya terdapat satu China dan mereka berusaha ke arah kemajuan, kemakmuran dan penyatuan, kata Duta Besar China, Huang Huikang.
“Usaha penyatuan China pasti dapat dilaksanakan,” katanya dipetik Sinchew Daily ketika melawat Pulau Pinang.
Huikang berkata, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang menyokong prinsip “satu China” tetapi tidak menyokong prinsip “Satu China, Satu Taiwan” atau “Dua China”.
Dalam pada itu, Huikang berkata, hubungan Malaysia dan China berada pada tahap terbaik terutamanya selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China.
Huikang berkata, China telah membuka semula import sarang burung mentah dari Malaysia secara berperingkat.
Katanya, lebih 30,000 pengusaha sarang burung keturunan Cina terjejas semasa China menghentikan import sarang burung mentah dari Malaysia berikutan soal kualiti.
“Selepas campur tangan, China telah membuka semula import sarang burung Malaysia secara berperingkat.
“Malaysia berpeluang mengeksport lebih banyak sarang burung ke China pada enam bulan akan datang,” katanya.