Barack Obama

WASHINGTON – Presiden Barrack Obama melaksanakan beberapa siri sekatan terhadap Rusia kerana masuk campur dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat 2016 dan memberi amaran lebih banyak langkah sedemikian akan diambil.

“Tindakan ini diambil susulan daripada pelbagai amaran sama ada secara peribadi mahupun umum yang telah kami keluarkan kepada kerajaan Rusia dan ini adalah maklum balas yang perlu dan sesuai ke atas sebarang usaha untuk menjejaskan kepentingan Amerika Syarikat serta melanggar norma-norma antarabangsa.

“Tindakan ini tidak terhenti di sini sahaja memandangkan aktiviti agresif Rusia, kami akan terus mengambil pelbagai tindakan pada masa dan tempat yang kami pilih, yang mana sebahagiannya tidak kami umumkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Obama berkata, satu laporan daripada pentadbirannya mengenai usaha Rusia untuk masuk campur dalam pilihanraya 2016 yang lalu akan diserahkan kepada Kongress dalam tempoh beberapa hari akan datang. – MalaysiaGazette