PETALING JAYA – Sebanyak RM5.6 bilion dengan pecahan sekecil 2 sen hingga puluhan ribu ringgit tidak dituntut oleh pemiliknya.
Sinchew Daily melaporkan, duit berkenaan termasuklah simpanan dalam akaun yang tidak aktif, simpanan tetap yang tidak dikeluarkan, kadar faedah, pampasan insurans, sehinggalah wang deposit dengan syarikat bekalan tenaga dan air.
Mengikut undang-undang, syarikat perlu menguruskan wang tidak dituntut sehingga 31 Disember setiap tahun dan menyerahkannya kepada pendaftar di bawah Jabatan Akauntan Negara sebelum 31 Mac.
Orang ramai digalakkan berurusan secara terus dengan jabatan berkenaan dan mengelakkan perkhidmatan orang tengah untuk menuntut wang berkenaan.
Disebabkan senarai wang tidak dituntut adalah diwartakan, maka orang tengah dapat memperoleh maklumat itu dan mengenakan caj 20 peratus untuk membantu menuntut jumlah tersebut, walaupun ia adalah percuma jika dilakukan secara terus dengan pihak berkuasa.
Orang tengah tersebut malahan menghantar surat kepada orang orang ramai mengenai wang yang tidak dituntut dan mengenakan caj untuk membantu menuntut jumlah tersebut.
Jabatan Akauntan Negara di bawah Kementerian Kewangan bagaimanapun menegaskan bahawa tidak melantik mana-mana ejen untuk urusan tersebut, kerana tuntutan boleh dilakukan secara percuma.
Orang ramai yang mempunyai kemusykilan boleh melakukan pemeriksaan di mana-mana cawangan Jabatan Akauntan Negara atau pejabat pendaftar di tingkat 42 Menara Maybank di ibu negara.
Maklumat mengenai wang tidak dituntut juga boleh diperoleh daripada Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur.
Pertanyaan boleh diajukan kepada 03-20568000.
















