Home Nasional Juru pam didakwa guna kad kredit timbalan pendakwa raya

Juru pam didakwa guna kad kredit timbalan pendakwa raya

ALOR SETAR – Seorang juru pam stesen minyak hari ini didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menyalahgunakan kad kredit milik seorang timbalan pendakwa raya berjumlah RM1,699 pada bulan lepas.

Tertuduh, Muhammad Syazwan Abdul Halim, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Syazwan menyalahgunakan kad kredit Visa Maybank milik mangsa untuk membeli telefon bimbit jenis Samsung J7 Prime bernilai RM1,221 di Kedai Best EH Enterprise pada pukul 2.11 petang, 26 Disember lalu tanpa pengetahuan pemegang kad kredit berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 23 Disember lalu, di lokasi yang sama pada kira-kira pukul 8.22 malam telah menyalahgunakan kad kredit berkenaan untuk membeli telefon bimbit jenis Samsung J1 bernilai RM488 tanpa pengetahuan mangsa.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan sehingga lima tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Majistret Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli kemudiannya menetapkan 5 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh mendapatkan peguam bela. -MalaysiaGazette