Nancy Shukri (kanan) mencuba simulator bas ketika melawat Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 10 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Pada pertengahan Februari ini satu makmal yang menghimpunkan pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam sistem pengangkutan darat akan berkumpul untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemalangan maut yang melibatkan pengangkutan awam di negara ini.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, makmal tersebut akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Hasil makmal ini akan dibentangkan ke Kabinet untuk tindakan lanjut kerana kita mendapati banyak perkara yang menyumbang kepada terjadinya kemalangan maut dan mahu mencari jalan penyelesaiannya.

“Bagaimanapun, kita perlu berlaku adil dengan semua pihak termasuk operator bas. Jika kita menyuruh mereka memasang pelbagai gajet, ia mungkin akan membebankan kerana menambah kos kepada perniagaan mereka.

“Jadi kita kena cari jalan penyelesaian yang adil untuk semua pihak termasuk syarikat pengendali bas dan penumpang,” katanya semasa sidang media selepas membuat lawatan ke Kompleks Bas Rapid Cheras Selatan dekat sini hari ini.

Nancy disambut oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd., Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus.

Tambah Nancy, apa yang turut menjadi kebimbangan kepada kerajaan dan industri adalah kekurangan pemandu bas yang terlatih, berkelayakan dan muda.

Ini kerana kos untuk mendapatkan lesen dan latihan pemanduan bas adalah tinggi sehingga menyebabkan ramai anak muda yang tidak mampu untuk mendapatkannya.

“Saya gembira kerana Rapid Bus mempunyai akademi bas sendiri untuk melatih pemandu-pemandu bas, cuma apa yang membimbangkan kerajaan apabila kebanyakan pemandu bas ekspress adalah golongan yang lebih berusia iaitu berumur melebihi 40 tahun malah ada yang berumur 60 tahun.

“Ini kerana Malaysia masih belum mempunyai had umur untuk pemandu dan perkara-perkara ini akan dibincangkan di dalam makmal nanti.,” katanya lagi.

Beliau juga berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi mengurangkan kos untuk melatih pemandu bas dan memudahkan mereka mendapatkan lesen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast