KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan lantikan ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dua daripadanya merupakan ahli parti pembangkang.
Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu beranggapan, lantikan politik itu bertujuan memenuhi keperluan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan berkenaan nasihat segera yang boleh diberikan oleh JKMR kepada Anwar berkenaan rasuah.
“Berapa banyak elaun yang akan diterima oleh setiap ahli? Seberapa kerap mereka akan bermesyuarat?
“Apakah kepakaran yang mereka miliki yang tidak terdapat dalam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan pelbagai jawatankuasa pemantau sedia ada?” soalnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, dua ahli pembangkang iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dilantik sebagai ahli baharu JKMR bersama-sama seorang lagi iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.
Tempoh pelantikan mereka bermula 25 April lalu sehingga 25 April 2028 dengan surat lantikan diserahkan Anwar dan turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurut Anwar dalam kenyataannya, JKMR berperanan penting dalam menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan isu rasuah serta meneliti Laporan Tahunan SPRM.
Sementara itu, Zaid menyifatkan tidak pernah berlaku dalam sejarah yang mana pentadbiran negara ini dibantu oleh begitu banyak jawatan kuasa.
“Dan tidak pernah kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang kelihatan sebegitu tidak yakin seperti PMX (Anwar),” katanya. – MalaysiaGazette
















