Yuran pembentungan tidak pernah mengalami kenaikan sejak 1997.

PETALING JAYA – Yuran perkhidmatan pembentungan akan mengalami kenaikan harga, tetapi tarikh pelaksanaannya belum dipastikan.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Liang Teck Meng berkata, yuran tersebut tidak pernah mengalami kenaikan sejak 1997.

Selain itu, disebabkan hanya 50 peratus pengguna yang menjelaskan yuran tersebut, keadaan itu menyebabkan Indah Water mengalami keadaan kewangan defisit.

Katanya, ramai yang tidak membayar walaupun mereka membelanjakan lebih banyak duit membeli tisu tandas daripada yuran perkhidmatan pembentungan.

Tanpa mendedahkan tarikh kenaikan harga, Teck Meng berkata, kerajaan sedang menggunakan cara subsidi untuk menyokong Indah Water bagi mengelakkan kenaikan harga membebankan rakyat pada masa ini.

Katanya, kaedah itu bagaimanapun adalah tidak mampan dan menyebabkan Indah Water tidak dapat menyediakan perkhidmatan lebih baik.

“Macam mana Indah Water boleh beroperasi? Setiap tahun kerajaan memberi subsidi sebanyak RM200 juta kerana hanya 50 peratus pengguna yang membayar.

“Ada sesetengah polisi memang tidak dialu-alukan, walaupun susah tetapi ia tetap perlu dilaksanakan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Teck Meng berkata, beliau akan berusaha menyatukan bil air dan bil pembentungan kerana cara itu diyakini dapat meningkatkan kutipan yuran.

“Cara ini turut dilaksanakan di negara seperti England dan Singapura,” katanya.

Ujarnya, Labuan turut cuba melaksanakan cara itu dan hasilnya adalah menggalakkan apabila peratusan pengguna yang membayar melonjak daripada 50 peratus kepada lebih 90 peratus.

Kejayaan Labuan bagaimanapun tidak bermakna cara sama boleh diperluaskan ke semua tempat kerana keadaan setiap negeri adalah berbeza.

Aset air sesetengah negeri telah dialihkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) tetapi bukan semuanya. — MalaysiaGazette