Home Ekonomi AirAsia tambah penerbangan pada Tahun Baru Cina

AirAsia tambah penerbangan pada Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd akan meningkatkan jumlah penerbangannya, termasuk menambah 84 penerbangan domestik dan antarabangsa bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Bahagian Komersialnya, Spencer Lee berkata, ini berikutan perayaan itu merupakan tempoh paling sibuk untuk syarikat berkenaan apabila ramai pelanggan memanfaatkan cuti itu untuk pulang beraya atau bercuti.

“Bagi meraikan kedatangan Tahun Ayam itu juga, kami turut melancarkan kempen ‘#AyamComing’ dengan tawaran harga tambang penerbangan serendah RM29 (sehala), sajian dalam pesawat serta diskaun tempahan awal secara dalam talian bagi segmen bebas cukai kami,” katanya.

Menurut Lee, harga rendah itu boleh ditempah mulai hari ini sehingga 22 Jan, 2017 melibatkan tempoh perjalanan sehingga 31 Julai, 2017.

“Selain menambah lagi jumlah penerbangan bagi memenuhi permintaan, kami juga mahukan para pelanggan menikmati keistimewaan jaringan kesalinghubungan penerbangan yang kami sediakan,” katanya.

Lee berkata, AirAsia X iaitu segmen penerbangan jarak jauh syarikat berkenaan, memperkenalkan 12 laluan baharu tahun lepas dan sembilan daripadanya dikendalikan secara eksklusif oleh AirAsia dan AirAsia X.

Menurutnya, bersempena promosi itu juga, Big Duty Free yang juga segmen bebas cukai dalam talian AirAsia menawarkan diskaun 38 peratus ke atas semua barangannya mulai sekarang sehingga 12 Februari ini, katanya.

“Pelanggan juga boleh berbelanja dan memperoleh lapan kali mata ganjaran besar (program kesetiaan) AirAsia apabila membeli-belah secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast