Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat motosikal yang dilengkapi dengan kotak mengisi peralatan perniagaan pada Majlis Penyerahan Mobilepeneur Peringkat Negeri Johor di Johor Bahru,hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mengedar sebanyak 3,000 motosikal kepada usahawan belia berpendapatan rendah di seluruh negara tahun ini menerusi pelaksanaan program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut meningkat enam kali ganda berbanding 500 motosikal yang diedarkan pada 2016.

Menurutnya, ia susulan daripada sambutan menggalakan di kalangan kumpulan sasar terutamanya belia untuk menjana pendapatan ma­sing-masing melalui perniagaan secara kecil-kecilan.

“Mobilepreneur berasaskan konsep perkhidmatan bergerak itu selari dengan usaha kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia melibatkan diri dalam bidang ke­usahawanan.

“Program ini adalah satu inisia­tif bagi membantu golongan belia terutamanya dari luar bandar yang mempunyai kemahiran tertentu menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan yang rendah tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.

“Ia juga dilihat sesuai de­ngan keperluan semasa di mana masyarakat tidak perlu ke kedai untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Bagaimanaoun pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan usahawan terlibat berjaya dan tiada penyalahgunaan motosikal terjadi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Negeri Johor di sini semalam.

Motosikal dan peralatan yang diserahkan kepada para penerima pada Majlis Penyerahan Mobilepeneur Peringkata Negeri Johor, di Johor Bahru hari ini.

Sebahagian motosikal yang diserahkan kepada peserta pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 17 peserta daripada Johor me­nerima bantuan di bawah program Mobilepreneur KKLW yang dianggarkan bernilai RM10,000 setiap satu.

Program ini dilaksanakan melalui pemberian pakej lengkap kepada peserta termasuk sebuah motosikal Modenas yang diubahsuai reka bentuk rear boz, peralatan mengikut bidang kemahiran peserta dan kursus asas keusahawanan untuk memulakan perniagaan.

Jelas Ismail Sabri, kementeriannya telah memperuntukkan RM2.3 juta kepada 230 usahawan muda pada tahun lalu.

Katanya, perniagaan menerusi Mobilepreneur itu lebih mudah tanpa memerlukan modal besar untuk membuka premis perniagaan sekaligus mampu menjimatkan kos usahawan muda terlibat.

“Program ini adalah inisiatif yang boleh menjadi batu loncatan kepada mereka untuk menerokai dunia perniagaan secara lebih meluas seterusnya berupaya memiliki syarikat sendiri pada masa akan datang.

“Situasi ini juga diharap dapat membantu kerajaan mencapai matlamat transformasi ekonomi di luar bandar selain meningkatkan taraf hidup golongan ber­kenaan,” ujarnya.

Jelas beliau, pelaksanaan program Mobilepreneur itu juga dilihat sebagai satu langkah baik bagi membolehkan bidang keusahawanan berkembang dan meningkatkan tahap ekonomi luar bandar secara berterusan.

Katanya, ia juga diharap dapat memberi manfaat kepada golo­ngan masyarakat luar bandar berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran dan cenderung dalam bidang keusahawanan. – MalaysiaGazette