Khalid Abdul Samad

KLANG – Mahkamah Rendah Syarie Klang pagi ini, mengenakan hukuman denda RM2,900 ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Hukuman denda itu dibaca Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab. Rahim, selepas membaca penghakiman ke atas bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu berkata, beliau akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

“Saya akan buat rayuan dalam masa terdekat ini. Kalau tidak kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen (Shah Alam) akan terjejas dan kemungkinan tidak dapat bertanding (pada PRU 14),” katanya ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Rendah Syarie di sini.

Menurut Khalid, beliau dikenakan hukuman itu kerana atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar, Klang pada 2011.

“Ketika itu, saya baharu balik dari Gaza, Palestin dan saya dijemput ke surau itu untuk memberikan ceramah mengenai perjalanan saya di sana (Gaza).

“Ketika saya menyampaikan ceramah, orang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunggu saya di luar dan selepas itu saya ditahan dengan alasan mengajar tanpa tauliah,” katanya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor iaitu melakukan kesalahan itu di surau Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, antara jam 10 hingga 10.50 malam pada 16 Ogos 2011.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette