ISTANBUL – Seorang kru maut manakala 27 yang lain dipindahkan selepas sebuah kapal dagang menjadi sasaran serangan berhampiran wilayah Musandam, Oman yang menghadap Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
Pusat Keselamatan Maritim Oman dalam kenyataan di platform media sosial X pada Rabu memaklumkan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Oman, dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan memindahkan kru kapal dagang CAPE DAO yang berdaftar di Antigua dan Barbuda.
“Seramai 27 kru dipindahkan dan diberikan rawatan perubatan selepas kapal itu diserang kira-kira 2.5 batu nautika dari pesisir Musandam,” menurut pusat itu.
Serangan berkenaan menyebabkan kebakaran di bilik enjin dan mengorbankan seorang kru.
Beberapa jam sebelum pengumuman Oman itu, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan sebuah kapal kargo terkena projektil yang tidak dikenal pasti ketika melalui Selat Hormuz, menyebabkan kebakaran dan kapal malang itu hanyut tanpa kawalan.
UKMTO belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Wilayah Musandam di Oman terletak di bahagian selatan Selat Hormuz, antara laluan perairan paling penting di dunia bagi penghantaran tenaga dan perdagangan global.
Perkapalan yang melalui laluan itu berdepan gangguan sejak perang tercetus pada akhir Februari antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, susulan serangan terhadap kapal dagang serta ancaman balas berkaitan keselamatan laluan berkenaan. – BERNAMA-ANADOLU
















