Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas akan menghantar jemputan kepada semua Menteri Kabinet, Ahli Parlimen dan Mufti di setiap negeri untuk mengajak mereka menyertai Himpunan 355 (H355) di ibu kota pada 18 Februari ini.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, beliau akan mengarahkan Sekretariat H355 supaya mempercepatkan penghantaran surat jemputan itu, termasuk kepada Ketua-ketua Hakim Syarie, Imam Masjid Negara dan negeri, tokoh agamawan dan pihak swasta.

Katanya, beliau turut mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha agar menyertainya.

“Kelmarin, bertemu santai dengan menteri (Jamil Khir) sambil minum ringan di awal malam dan ajak beliau menyertai H355.

“Alhamdulillah, beliau dan Ketua Pengarah (Othman) menyambut baik hasrat penganjuran H355 oleh Gabungan NGO Sekretariat Himpunan 355 pada 18 Februari ini,” katanya yang dipetik kenyataan itu menerusi laman sosial facebook beliau, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi terbaharu H355 akan diadakan, selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarangnya.

Sebaliknya, Pas dan Sekretariat H355 boleh menggunakan Stadium Titiwangsa, yang terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi Dataran Merdeka, untuk berhimpun.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, seluruh umat Islam di negara ini akan disatukan secara besar-besaran pada H355 sebagai sokongan kepada usaha meminda akta berkenaan di Parlimen Mac ini.

Himpunan yang menyasarkan penyertaan kira-kira 300,000 hadirin sempena angka 355 itu, dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 3 petang hingga 11.30 malam. – MalaysiaGazette