MELAKA – Kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ini, bakal menjadi pencetus kepada gelombang biru di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Timbalan Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan)
Melaka, Dr. Mohd Yadzil Yaakub yakin gabungan kedua-dua parti berkenaan mampu meraih undi majoriti yang lebih besar pada PRU akan datang.
Jelasnya, BN dan PN dianggap gabungan mantap tanpa perlu ada penyatuan dengan parti lain.
“Gabungan gelombang biru ini tidak memerlukan gabungan dengan sesiapa pun lagi.
“Melaka menjadi titik tolak membawa gelombang biru ke peringkat persekutuan atau PRU nanti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jasin Height, Jasin di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman pembubaran DUN Melaka hari ini oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri di sini semalam.
Menurut Dr Mohd Yadzil, gelombang biru pada PRN Melaka adalah kesinambungan persefahaman yang wujud di PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Gelombang biru yang kita nak bawa ini hasil daripada penyatuan ummah yang bukan setakat di Melaka, kita dah mulakan di Johor dan Negeri Sembilan.
“Saya yakin kalau kali ini benar-benar berlaku di Melaka, Putrajaya adalah milik kita dan gelombang biru itu boleh dibawa ke Putrajaya,” tegasnya.
Beliau kini menyerahkan kepada pucuk pimpinan Wawasan yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk berunding secara bijaksana dengan BN Melaka yang dipengerusikan Ab Rauf berhubung pembahagian kerusi.
Beliau yakin akan wujud persefahaman antara kedua-dua pihak bagi memastikan agenda penyatuan ummah di Melaka tercapai.
“Mudah-mudahan mereka berbincang dengan baik kerana jumlah kerusi yang hendak diagihkan adalah subjektif dan memang akan ada timbal balik antara kedua-dua pihak,” katanya.
– MalaysiaGazzette
















