Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Pas tidak boleh dipersalahkan sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini, kata Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd. Samad.

Ini kerana katanya, jika berlaku, bermakna parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah memasuki kawasan yang dimenangi Pas atau kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandini parti itu.

“Mengenai pertandingan tiga penjuru ketika pilihan raya umum akan datang, Pas tidak seharusnya dipersalahkan jika ia berlaku.

“Kalau berlaku tiga penjuru kerana parti PH memasuki kawasan yang dimenangi oleh Pas atau kawasan yang ditandingi oleh Pas pada PRU lalu.

“Jadi, tidak wajar menuding jari kepada Pas dan adalah tidak masuk akal Pas yang bersalah apabila parti lain yang mengacau kerusi kita,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Iskandar dengan nada tegas menyatakan, jika konsep pertandingan dua penjuru tidak lagi dihormati oleh parti lain (PH), kenapa pula Pas perlu menghormatinya.

“Saya nasihatkan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), hentikan serangan terhadap Pas, sebaliknya tumpukan perhatian kepada usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.

“Kehadiran PAN telah menimbulkan kecelaruan kepada suasana politik negara.

“Oleh itu, memang tepat saranan agar PAN bergabung dengan parti lain, tetapi bukan dengan PKR seperti yang disarankan dan saya cadangkan PAN bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan parti itu,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor memberitahu, jika gabungan itu berlaku, nescaya pemimpin PAN boleh diperuntukan kerusi selamat DAP dan sekali gus dapat menyelesaikan banyak masalah.

Mengenai tuduhan terkini PAN, bahawa Pas yang berada dalam blok ketiga pembangkang adalah proksi Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan PH, Iskandar berkata, tuduhan dan dakwaan itu adalah meleset.

“Sekiranya terdapat dua pakatan pembangkang, maka serangan terhadap BN akan bertambah.

“Dan dengan dua pakatan pembangkang juga akan lebih banyak pendedahan penyelewengan BN dapat dilakukan.

“Maka ini tidak mungkin akan menguatkan BN, tetapi akan melemahkannya,” katanya. – MalaysiaGazette