Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) agar tidak mengganggu proses cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355).

Sepatutnya, kata Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam pertubuhan itu, Dr. Amini Amir Abdullah, parti MCA, MIC dan Gerakan memberi sokongan tanpa berdolak dalih jika mereka mempunyai strategi politik matang dan bijaksana dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Kata beliau, kejayaan mereka memenangi PRU 13 lalu, banyak bergantung kepada undi orang Melayu dan Islam.

“Bayangkan apa akan terjadi jika orang Melayu, Islam tidak lagi memilih mereka pada PRU 14 ini kerana mereka tidak menyokong pindaan RUU 355.

“Perkasa hendak memahamkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa RUU355 ini sama sekali tidak bertentangan dengan falsafah dan semangat Perlembagaan Persekutuan kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan dan bersesuaian dengan tafsiran Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Dr. Amini, beliau kecewa kepada DAP, MCA, MIC dan Gerakan memberikan pelbagai alasan dan hujah untuk menidakkan pindaan RUU355.

“Perlembagaan Persekutuan membenarkan dan mengiktiraf kewujudan dua sistem undang-undang serta mahkamah iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Oleh itu, hujah Tiong Lai bahawa dua sistem undang-undang hanya akan memecahbelahkan rakyat adalah hujah yang pesimistik dan dangkal serta tidak memahami falsafah perlembagaan,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan, Tiong Lai selaku Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Mah Siew Kiong di Parlimen Teluk Intan dan Datuk Seri S. Subramaniam di Parlimen Segamat banyak bergantung kepada undi Melayu dan Islam.

Justeru, katanya, ketiga-tiga presiden dari tiga parti komponen BN itu mesti berfikir kesan yang akan diterimanya pada PRU 14 nanti jika masih tidak mahu menerima RUU355.

“Kita hampir pasti pengundi Melayu dan Islam akan menghukum mereka jika masih berdegil menolak RUU 355 yang diidamkan oleh orang Melayu. Kita tunggu dan lihat nanti,” katanya. – MalaysiaGazette