SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memulakan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

SPRM mengesahkan bahawa ia telah membuka satu kertas siasatan ke atas Annuar bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa tersebut.

“SPRM akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menyiasat beberapa isu melibatkan rasuah dan salah guna kuasa Tan Sri Annuar Musa.

“Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA.

“SPRM meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut dan memberikan ruang kepada SPRM bagi menjalankan siasatan,” tegas kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette