Sidang media pada sesi Tandatangan Perjanjian "360 Talent Management" antara Universal Music & Fazura di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fazura menyifatkan istilah girlfriend atau teman wanita di Amerika Syarikat adalah panggilan biasa di negara berkenaan.

Justeru, Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin menjelaskan tindakan rakannya yang juga seorang deejay di Amerika Syarika, Randy Seidman memanggilnya sebagai teman wanita bukan bermakna mereka pasangan kekasih.

“Panggilan girlfriend sebenarnya tidak normal di Malaysia tapi di Amerika Syarikat, panggilan itu adalah perkara biasa.

“Kalau di sana, kawan wanita dipanggil girlfriend dan bukan bermaksud kami bercinta,” katanya.

Fazura berkata demikian pada sidang selepas majlis menandatangani Universal Music X Fazura Pengurusan 360 di Hotel Le Meridien di sini hari ini.

Dia diminta mengulas satu video yang menjadi tular sejak minggu lalu apabila Randy merujuknya sebagai girlfriend ketika mereka bercuti bersama di New York hujung tahun lalu.

Fazura juga mendakwa dia tidak sedar video itu dirakam untuk satu eksperimen sosial tentang larangan kemasukan umat Islam di negara itu.

Selain panggilan girlfriend, video berdurasi 10 minit turut memaparkan tindakan Randy mempersoalkan larangan itu berikutan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melarang pelancong daripada tujuh negara Islam mengunjungi negara itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27 berkata, Randy merupakan kawan baiknya sejak lima tahun lalu dan seorang yang menghormati orang lain.

Jelasnya, dia terharu apabila jejaka itu mempertahankan agama dan umat Islam lain dan bukan dirinya semata-mata. – MalaysiaGazette