KUALA LUMPUR – Poster perlantikan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCced) semalam mencetuskan polemik di media sosial.
Ini kerana poster itu menerima kecaman segelintir yang beranggapan tidak bersesuaian apabila gelaran itu diberikan kepada Siti Nurhaliza atau lebih dikenali dengan nama Tokti susulan tidak memiliki pencapaian akademik yang tinggi.
Namun beberapa pengguna di media sosial tampil menjelaskan pendapat negatif netizen yang berasa gelaran itu seolah-olah akan merendahkan martabat Universiti Malaya (UM).
Kata mereka, gelaran pakar itu sebenarnya diberikan oleh Pusat Pendidikan Berterusan UM atau nama singkatannya, UMCCed iaitu pusat pendidikan berterusan yang diasaskan oleh UM.
Ada perbezaan UM sebagai satu universiti terkemuka di Malaysia di mana UMCced sebagai sebagai pusat akademik di bawah universiti itu sebagai perintis dalam konsep Pendidikan Sepanjang Hayat yang menawarkan pelbagai program pendidikan dan latihan untuk individu di semua peringkat masyarakat sejak 1998.
Bagi seorang pengguna, Khairunnisa Abdul Karim mempertahankan pelantikan berkenaan walaupun Siti Nurhaliza hanya mempunyai SPM namun ada pengalaman yang banyak dalam industri.
“Ini masterclass bukan program diploma, ijazah atau sarjana.
“Masterclass banyak diajar oleh “pakar” dalam industri. Ada penulis (bukan ada ijazah penulisan), ada pengarah filem (tanpa ijazah perfileman), ada penceramah motivasi (tak ada ijazah psikologi pun).
“DS Siti dijemput untuk ajar seni vokal bukan ajar teknologi rakaman audio.
“Sama juga dengan penyanyi G-Dragon yang baru-baru ini dilantik jadi pensyarah jemputan di Fakulti Kejuruteraan CIAST untuk ajar subjek kepimpinan bukan ajar teknologi kejuruteraan.
“Berpada-padalah mengutuk. Tahniah DS Siti Nurhaliza,” tulisnya.
Bagi pengguna Dem Rembul, pakar maksudnya seseorang yang ahli dalam sesuatu bidang sama ada dari aspek pengetahuan atau kemahiran, atau merangkumi kedua-duanya iaitu pakar ilmu dan praktis sekaligus.
“Seseorang yang sudah mengusahakan ladang durian dengan jaya selama 20 hingga 30 tahun boleh dianggap pakar perladangan. Tapi mungkin belum boleh dianggap pakar agrotani. Sebab kepakaran praktikal tidak sama dengan kepakaran ilmu yang menuntut asas saintifik yang lebih sistematik.
“Begitu juga. Seorang pakar sains agrotani berkelulusan PhD belum tentu layak dipanggil pakar perladangan. Kerana mempunyai ilmu tani yang tinggi, belum tentu memiliki kemahiran berladang yang efektif,” katanya.
Tambah beliau, kepakaran ilmu boleh dipelajari dari universiti dan kepakaran amali boleh ditimba dari universiti kehidupan.
“Kedua-dua kepakaran ini penting dan menawarkan nilai signifikan tersendiri. Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, simbiosis pendidikan formal dan pengalaman praktik mesti dipupuk dan dihayati, sedalam-dalamnya.
“Kalau tidak, nanti orang ingat, bila sudah dapat penarafan ijazah tertinggi maka bolehlah berhenti belajar. Sebab kononnya kitar pendidikan telah tamat.
“Sedangkan konsep pembelajaran sepanjang hayat itu merentasi institusi pengajian formal. Proses itu mesti berterusan sehingga memasuki alam pekerjaan dan dunia kehidupan sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette