KUALA LUMPUR – Semakan caj pergigian yang terkandung dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 hanya melibatkan pengurangan subsidi bagi pesakit Kelas 1 dan Kelas 2 (inpatient).
Caj pergigian yang disemak oleh Kementerian Kesihatan itu menyaksikan kos cabutan gigi dinaikkan dari RM1 kepada RM15 manakala caj cuci gigi meningkat dari RM 2 kepada RM55 dan tampalan dari RM2 kepada RM25.
Caj baru itu dikuatkuasa 1 Mac ini.
Bagaimanapun, caj rawatan pergigian sedia ada bagi kelas 3 (inpatient) dan pesakit luar (outpatient) adalah dikekalkan.
Ini bermakna, pesakit itu mendapatkan rawatan pergigian tetap membayar caj yang rendah pada kadar subsidi yang amat tinggi dibiayai oleh kerajaan.
Pesakit sekadar membayar sebanyak RM2 untuk penskaleran dan penggilapan gigi (scaling/cuci gigi), RM2 untuk tampalan gigi dan cabut gigi RM1.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap penjagaan kesihatan yang bermutu tinggi pada kadar berpatutan.
“Kerajaan terus komited untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan kesihatan berkualiti tinggi pada kadar yang amat rendah kepada semua rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette