Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan Donald Trumph tempoh tiga bulan sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) itu terpaksa menangguh langkah tarif timbal balik yang sangat tinggi dikenakan ketika ini.

Ini kerana, kata beliau, tarif tinggi itu akan ‘menyakitkan’ AS sendiri melebihi negara-negara lain.

Jelasnya, idea utama untuk meningkatkan tarif timbal balik adalah untuk meningkatkan harga barangan import, sekali gus membolehkan produk tempatan lebih murah.

Bagaimanapun, ujarnya, idea itu bergantung kepada sejauh mana kesediaan produk tempatan di pasaran, yang mana AS pada hakikatnya tidak mempunyai produk sendiri.

Dr. Mahathir berkata, sejak berdekad-dekad lamanya, AS bergantung kepada produk import kerana harganya yang jauh lebih murah.

Malah, tambah beliau, produk jenama AS juga dikeluarkan di luar negara kerana kos pembuatannya yang lebih murah.

“Syarikat Apple juga mengeluarkan telefon bimbit iPhone kebanyakannya di China dan India untuk pasaran dunia serta pasaran negara AS sendiri.

“Jika tarif tinggi dikenakan ke atas barangan import, maka harga produk iPhone di AS yang dihasilkan di China juga akan menjadi 120 peratus lebih mahal berbanding di negara lain.

“AS bukanlah pengeluar utama iPhone. Jadi jika barangan import menjadi mahal kerana tarif tinggi, tiada iPhone tempatan yang dapat memenuhi permintaan rakyat AS.

“(Disebabkan itu) Trump kini sudah pun terpaksa menangguhkan tarif tinggi ke atas produk elektronik,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, masalah sama juga akan berlaku terhadap produk-produk lain di AS, sekali gus menyebabkan kos sara hidup yang tinggi di negara itu.

Ujar beliau, sekiranya AS cuba mengeluarkan produk sendiri, kosnya akan menjadi terlalu tinggi dan sukar dijual, selain itu produk keluaran negara berkenaan juga tidak boleh dieskport kerana tidak mampu bersaing di pasaran dunia.

“Jadi apakah kesan tarif tinggi ini ke atas AS? Negara itu akan kekurangan banyak produk, sama ada yang penting atau tidak penting.

“AS juga akan kekurangan banyak komponen dan alat ganti bagi produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat negara itu di luar negara,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, disebabkan tarif ke atas produk import dan kos pengeluaran yang tinggi dalam negara, kos sara hidup di AS juga akan melonjak, sekali gus menyebabkan tuntutan kenaikan gaji.

Selain itu, katanya, AS juga akan kehilangan pasaran luar kerana produknya tidak mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

“Akan berlaku banyak demonstrasi oleh rakyat AS, dan negara itu tidak akan menjadi hebat semula.

“Saya beri AS (Trump) tiga bulan, mungkin lebih. Saya mungkin silap, kita akan lihat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast