Ujian peluru berpandu Iran telah mencetuskan ketegangan antara Tehran dan negara-negara Barat. Foto Agensi

TEHRAN – Ujian peluru berpandu yang dijalankan oleh Iran bukan bertujuan untuk menghantar mesej kepada Presiden Donald Trump atau ‘menguji’ beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

“Tidak ada keperluan untuk menguji Trump kerana kita mendengar pelbagai pandangannya dalam isu-isu yang berbeza sejak kebelakangan ini. Kami mengenali beliau dengan baik,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qasemi.

Iran membuat kenyataan itu selepas Washington berhasrat untuk melaksanakan sekatan terhadap Tehran selepas menjalankan ujian peluru berpandu minggu lalu.

Tehran telah menjalankan beberapa ujian peluru berpandu sejak tahun 2015 tetapi ujian terbaharu yang dibuat pada 29 Januari lalu adalah kali pertama sejak pemerintahan Trump di White House.

Trump semasa kempennya berkata, beliau akan menghentikan program peluru berpandu Iran.

Qasemi berkata, Kerajaan Amerika Syarikat ‘masih dalam peringkat tidak stabil’ dan kenyataan Trump ‘bercanggah’.

“Kami sedang menunggu untuk melihat bagaimana AS akan bertindak dalam isu-isu antarabangsa yang berbeza untuk menilai pendekatan mereka,” tambah Qasemi.

Walaupun berlaku ketegangan antara Tehran dan Washington, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis pada hari Sabtu berkata, beliau tidak mempertimbangkan untuk mengukuhkan tenteranya di Timur Tengah untuk menangani ‘salah laku’ Iran. – MalaysiaGazette