Home Ekonomi MSM diunjur RM3,000 tan hingga April ini

MSM diunjur RM3,000 tan hingga April ini

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berada sekitar RM3,000 setiap tan sehingga bulan April ini disebabkan penurunan inventori semasa kepada kurang dua juta tan.

Ketua Pegawai Eksekutif  Felda Global Ventures Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, harga MSM diunjur diselaraskan antara RM2,600 hingga RM2,800 setiap tan berikutan peningkatan pengeluaran pada suku kedua tahun ini.

“Saya berpendapat harga MSM menghampiri RM2,800 setiap tan. Bagaimanapun, MSM akan terlebih jual jika komoditi itu dijual di bawah paras RM2,300 setiap tan.

“Harga komoditi biasanya akan ditentukan oleh bekalan dan permintaan,” ujarnya.

Tambahnya, FGV dijangka menghasilkan tambahan 500,000 tan tandan buah segar (FFB pada tahun ini, sekali gus meningkatkan pengeluarannya kepada kira-kira 4.6 juta tan. – MalaysiaGazette