Tan Sri Shahrir Abdul Samad

JOHOR BHARU- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan membentangkan laporan prestasi kewangannya dan perkembangan semasa termasuk penjualan aset di luar negara pada mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah badan itu pada 20 Februari depan.

Sebarang keputusan yang bakal diambil akan dimaklumkan kepada para peneroka, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Kali terakhir Felda membentangkan prestasi kewangannya adalah bagi tahun 2014.

Shahrir pada sidang media pertamanya sejak menduduki jawatan tersebut pada 17 Januari lalu berkata, kelewatan Laporan Kewangan Tahun 2015 adalah disebabkan badan tersebut mempunyai proses perakaunan yang berbeza terutama mengenal pasti keuntungan dan kerugiaan dalam tempoh tertentu.

Ini membuatkan Felda berbeza dengan syarikat-syarikat pelaburan yang lain, jelasnya.

Dalam pada itu, Shahrir turut menjelaskan, penjualan aset Felda di luar negara tidak akan menjejaskan operasi dan fungsi utama badan tersebut serta tidak akan menyebabkannya muflis.

“Aset di luar negara itu adalah harta pelaburan Felda dan pulangannya kini dilihat tidak berbaloi.

“Sebab itu kita kena faham dan bezakan apa yang harta operasi dan apa itu harta pelaburan.

“Kalau kita melabur dalam saham Maybank dan bukan tujuan nak menguasai Maybank, maka kita jual saham itu bermaksud kita mencairkan harta.

“Kalau kita ada harta di London dan Bayswater, operasi Felda tidak terjejas pun dan tidak menyumbang kepada operasi Felda iaitu menjaga kesejahteraan peneroka. Jadi, kita jual itu tidak menjadikan Felda muflis dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong-royong cegah wabak denggi di Larkin, Johor.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast