KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memberi titah kepada polis negeri itu hari ini, agar membebaskan Muhammad Zul Apiz Baharum, 29, yang ditahan kerana didakwa menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Titah itu dibuat baginda ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Kontingen Johor Bahru supaya membebaskan Muhammad Zul Apiz atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Mat Tere’ dan dihantar pulang ke Kelantan.
Mat Tere sepatutnya dilanjutkan tahanan reman hari ini.
Dalam titah itu, baginda percaya Mat Tere tidak bersalah dan telah dijadikan mangsa oleh individu di pihak atasan untuk agenda politik.
Baginda juga turut mengucapkan syabas kepada kerajaan Kelantan yang telah menjaga rakyat mereka dengan baik dan berjaga-jaga dengan individu yang ada niat untuk memecah-belahkan rakyat.
Mat Tere ditangkap polis Kelantan Jumaat lalu, setelah rakaman videonya menghina TMJ menjadi tular dalam laman sosial Facebook dan Youtube. – MalaysiaGazette