Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan akan memberi laluan kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Namun beliau juga enggan mengesahkan samada beliau akan bertanding jika TMJ mengambil keputusan sebaliknya.

Malah Khairy berkata, beliau tidak pasti sempat untuk menghantar borang bertanding Presiden FAM sebelum pukul 5 petang ini kerana mempunyai jadual yang padat hari ini.

Secara berseloroh, beliau berkata, beliau belum lagi dapat bertemu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang dianggap cuba ‘melarikan diri’ daripadanya.

“Saya tidak tahu (hantar borang). Saya belum dapat jumpa Hamidin dan beliau sedang melarikan diri dari saya.

“Tapi saya akan jumpa dan cuma jadual saya penuh hari ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan bersama Johor Petroleum di sini hari ini.

Khairy sebelum ini telah pun berjumpa dengan ahli-ahli gabungan FAM yang mencalonkannya namun pendirian tidak bertanding kekal jika TMJ sah menghantar borang.

Tiga lagi nama yang dicalonkan untuk menerajui badan induk tersebut iaitu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat. – MalaysiaGazette