KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah akan bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu, 25 Mac ini.

Perkara itu disahkan oleh laman sosial Facebook, Johor Southern Tiger yang memaparkan gambar pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengisi borang pengesahan jawapan bertanding di hadapan Sultan Ibrahim Iskandar.

Serentak itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak akan bertanding kerana pendiriannya sebelum ini untuk memberi laluan kepada TMJ.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim perkenan membenarkan Tunku Ismail  bertanding jawatan Presiden FAM.

Kebenaran itu diberikan selepas pertemuan delegasi ahli gabungan FAM dengan Sultan Johor di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi.

TMJ yang ditanya oleh Sultan Johor tentang cadangan ahli-ahli delegasi itu menjawab: “Patik hanya menjunjung titah Tuanku,”.

Sultan Johor kemudian bertitah: “Ubahlah air muka bola sepak tanahair”.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, borang pengesahan Tunku Ismail telah diterima semasa pertemuan bersama beberapa hari lalu di Johor Bharu.

Jelasnya, dua calon yang bertanding jawatan itu adalah Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar Musa.

“Setelah pukul 5 petang, sebanyak dua calon telah sahkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden manakala dua calon lagi telah menarik diri,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon akhir bertanding jawatan kerusi panas itu di Wisma FAM, sebentar tadi.

Menurut Hamidin, dua lagi calon lain bagi jawatan itu iaitu Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat telah menarik diri daripada merebut kerusi panas itu. – MalaysiaGazette