MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Anthony Martial, mahu menjaringkan gol ke atas Saint-Etienne dalam aksi play-off Liga Europa (UEL), pasukan yang sentiasa dilihat sebagai musuh kepadanya.

Martial memulakan karier di Lyon dan perlawanan berdepan Saint-Etienne merupakan aksi ‘derby’ Rhone-Alpes yang penting dalam Ligue 1.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Perancis itu tidak berpeluang untuk bermain dalam perlawanan tersebut tetapi berjaya meledak gol ketika bermain bersama Monaco.

United bakal menerima kunjungan Saint-Etienne untuk perlawanan pertama dan Martial, yang telah menjaringkan gol ketika menewaskan Watford pada Sabtu lalu, tidak sabar untuk sekali lagi menghantui pasukan itu.

“Ia merupakan satu persaingan yang hebat ketika saya berada di Lyon,” ujar Martial kepada laman web rasmi United.

“Kami menyedari ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi kami memberikan tumpuan kepada gaya permainan kami, saya yakin United mampu menghasilkan satu keputusan yang positif.

“Saya tidak sabar untuk menjaringkan gol ketika berdepan Saint-Etienne, saya berharap dapat membantu pasukan untuk meraih kemenangan, itu adalah matlamat saya.”

Perlawanan ini juga akan menyaksikan pertembungan di antara Paul Pogba dan abangnya, Florentin, yang beraksi untuk kelab tersebut sejak 2012. – MalaysiaGazette