Home Ekonomi Syarikat asing dibenar ambil alih entiti kewangan Singapura

Syarikat asing dibenar ambil alih entiti kewangan Singapura

SINGAPURA – Bank Pusat Singapura akan membenarkan syarikat asing mengambilalih tiga entiti kewangannya.

Ia merupakan sebahagian daripada perubahan industri bertujuan untuk meningkatkan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) bersedia untuk mempertimbangkan permohonan penggabungan atau pengambilalihan jika ada bakal rakan kongsi “mahu mengekalkan pembiayaan PKS sebagai perniagaan teras” dalam syarikat milik entiti kewangan yang disasarkan.

“Ini akan membolehkan syarikat kewangan mendapat lebih fleksibiliti untuk meneroka perkongsian strategik dan model perniagaan yang inovatif bagi mengukuhkan perniagaan pembiayaan PKS,” kata MAS.

Ia juga mengumumkan rancangan untuk melonggarkan had pinjaman bagi firma.

Saham syarikat-syarikat kewangan Singapura meningkat selepas pengumuman tersebut.

MAS mengeluarkan kenyataan pada Isnin yang menggariskan satu siri pelan untuk menyokong dan melaksanakan cadangan yang dibuat oleh panel ekonomi minggu lalu.

Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan telah membentangkan strategi yang bertujuan untuk menyokong pertumbuhan pada kadar purata 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada setiap tahun pada tahun-tahun akan datang.

Syarikat-syarikat kewangan di Singapura yang dilesenkan untuk menerima deposit dan pinjaman geran kepada perniagaan dan individu dengan memberi fokus kepada sektor PKS.

Hong Leong Finance Ltd, Sing Investments & Finance Ltd. dan Singapura Finance Ltd, yang disenaraikan di pasaran saham negara, kini memegang kira-kira S$7 bilion (AS$$4.9 bilion) daripada pinjaman terkumpul kepada PKS, atau hanya di bawah 9.0  daripada jumlah keseluruhan.

Nilai gabungan bagi ketiga-tiga aset institusi ini bernilai S$16 bilion.

Selepas perubahan diumumkan, beberapa pendekatan akan dilaksanakan dalam beberapa peringkat bermula pada tahun ini.

Ia termasuk had agregat ke atas pinjaman perniagaan tidak bercagar syarikat akan dinaikkan  sehingga 25 peratus daripada dana modal, berbanding 10 peratus sekarang.

Had ke atas pinjaman kepada seorang peminjam tunggal akan dinaikkan kepada sebanyak 0.5 peratus daripada dana modal, daripada had semasa $5,000.

Syarikat-syarikat kewangan juga akan dibenarkan menawarkan akaun semasa, pemindahan dana dan perkhidmatan cek kepada pelanggan-pelanggan perniagaan.

Pada masa sama, MAS akan meminta syarikat-syarikat meningkatkan tadbir urus korporat dan pengurusan risiko dengan undang-undang ketat dalam transaksi melibatkan pemegang kepentingan dan pendedahan had kepada sektor hartanah. – MalaysiaGazette