KUALA LUMPUR – Polis hari ini berjaya menahan seorang saspek wanita bagi membantu siasatan kes kematian lelaki dipercayai abang tiri kepada Presiden Korea Utara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan mengesahkan penangkapan wanita berusia 29 tahun itu.
Menurutnya, wanita itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sekitar pukul 8.20 pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan terhadap saspek memiliki dokumen perjalanan negara Vietnam.
“Saspek dikenali sebagai Doan Thi Huong dilahirkan di Nam Dinh,” katanya lagi.
Tambah Khalid, wajah wanita itu muncul dalam kamera litar tertutup (CCTV) di klia2 dan suspek berseorangan ketika ditahan.
“Siasatan sedang dijalankan secara mendalam berhubung kes ini dan tindakan lanjut akan diambil ke atas saspek berdasarkan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya lagi.
Dalam kejadian sekitar 8 pagi pada Isnin lalu, Kim Jong Nam, abang tiri kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un, mati selepas kepalanya dikatakan diserkup dengan kain mengandungi cecair di klia2.
Ketika kejadian, Jong Nam dikatakan menunggu di balai berlepas KLIA untuk penerbangan ke Macau selepas tiba ke Malaysia sejak 6 Februari lalu. – MalaysiaGazette