KUALA LUMPUR- DRB-HICOM Bhd. menegaskan syarikat tersebut yang merupakan pemilik Proton Holdings Bhd. (Proton) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai rakan kongsi asing strategik (FSP) pengeluar kereta negara itu.
Jelasnya, laporan-laporan media yang menyatakan sudah ada syarikat asing yang terpilih sebagai FSP Proton adalah tidak benar sama sekali.
“Kami berharap orang ramai tidak dikelirukan dengan laporan-laporan yang menyatakan DRB-Hicom telah memilih FSP kepada Proton.
“Ketika ini, kami hanya memberikan fokus kepada proses paling kritikal iaitu untuk mengenal pasti FSP yang sesuai dengan Proton,” kata satu kenyataan hari ini.
Terdapat laporan-laporan yang mengatakan pencarian FSP proton akan dimuktamadkan hari ini iaitu 15 Februari.
“Namun kami sekali lagi ingin menegaskan, proses pencarian ini sangat kompleks dan memakan masa.
“Kami akan memuktamadkan pencarian serta mengumumkannya dalam tempoh separuh pertama tahun ini namun kami berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Satu pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi,” kata kenyataan yang sama.-MalaysiaGazette