Ishak Ismail dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas lima pertuduhan salah guna kuasa, meminta dan menerima suapan melibatkan RM105,000, tahun lalu.

ALOR SETAR – Seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas lima pertuduhan salah guna kuasa, meminta dan menerima suapan melibatkan RM105,000, tahun lalu.

Tertuduh, Ishak Ismail, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Ishak didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan meminta serta menerima suapan daripada seorang kontraktor sebagai dorongan untuk memastikan kontraktor berkenaan berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan dalam projek-projek di daerah Sik.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah meminta suapan sebanyak RM55,000 daripada kontraktor tersebut menerusi panggilan sebagai dorongan bagi memastikan projek kerja-kerja penebangan pokok dan kerja-kerja penyelenggaraan penghadang jalan diberikan kepada kontraktor terbabit menerusi mesyuarat jawatankuasa sebut harga.

Untuk pertuduhan kedua, Ishak didakwa telah meminta RM20,000 daripada kontraktor yang sama di hadapan Hotel Park Avenue, Sungai Petani sebagai dorongan agar mesyuarat jawatankuasa sebut harga meluluskan projek kerja-kerja penebangan pokok dan mengorek keluar akar diberi kepada kontraktor tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa telah menerima suapan sebanyak RM75,000 daripada kontraktor berkenaan di kediamannya sebagai dorongan bagi memastikan projek kerja-kerja penebangan pokok, kerja-kerja mengorek keluar akar dan kerja-kerja penyelenggaraan penghadang jalan diberikan kepada kontraktor berkenaan menerusi mesyuarat jawatankuasa sebut harga.

Untuk pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah meminta suapan sebanyak RM30,000 daripada kontraktor itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai dorongan supaya mesyuarat jawatankuasa sebut harga meluluskan projek kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil cerun kepada kontraktor terbabit.

Bagi pertuduhan kelima, Ishak didakwa telah menerima suapan sebanyak RM30,000 daripada kontraktor berkenaan di kediamannya sebagai dorongan bagi memastikan projek kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil cerun diberikan kepada kontraktor itu menerusi mesyuarat jawatankuasa sebut harga.

Kesemua kesalahan tersebut dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Bagi Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 24(1) ASPRM 2009, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda daripada nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Bagi pihak SPRM, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Hafiizh Abu Bakar. – MalaysiaGazette