Mahfuz Omar.

BUKAN sehari dua Datuk Mahfuz Omar sudah beralih arah daripada Pas walaupun masih kekal sebagai ahli parti berkenaan sampai sekarang.

Malah gelaran mempelam harumanis – luar hijau, isinya oren – disebut-sebut merujuk kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Walaupun ramai ‘rakan-rakannya’ dalam Pas dahulu sudah keluar menyertai Parti Amanah Negara (PAN) namun Mahfuz tidak berganjak.

Terbaharu, Datuk Husam Musa keluar Pas dan menyertai PAN, Mahfuz tetap kekal.

Di Parlimen pun, Mahfuz sudah dianggap ‘entiti berasingan’ daripada wakil rakyat Pas dan lebih senang bersama parti pembangkang lain.

Penulis pernah bertanya kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz dan anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu menyifatkan Mahfuz sebagai ahli politik yang sangat keliru.

Malah sejak kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mahfuz gemar mengekori Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana-mana.

Alasannya mahu menjadi suara akar umbi Pas yang tidak bersetuju dengan kepimpinan yang ada sekarang yang meninggalkan pakatan pembangkang untuk bergerak sendirian.

Semua dilakukan bertentangan arus dengan pucuk pimpinan Pas dan Mahfuz menegaskan, semua itu dibuat atas kapasiti peribadi bukan parti.

Pas pada mulanya mungkin beranggapan Mahfuz bukan liabiliti sangat berbanding Husam.

Ada juga kata pengaruh Mahfuz di Pokok Sena dan Kedah kuat dan jika sebarang tindakan dibuat akan memberi impak buruk kepada parti di negeri itu.

Namun selepas Mahfuz mencadangkan Pas perlu keluar daripada kerajaan negeri di Selangor kerana tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) – Naib Presiden Pas, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah mula menegurnya dan mahu Mahfuz keluar dari Pas kerana membawa imej buruk kepada parti.

Mahfuz bagaimanapun enggan berbuat demikian dan mendakwa beliau akan terus di dalam parti kerana mahu membawa suara akar umbi parti.

Akhirnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula bersuara dan mahu jawatankuasa disiplin parti melihat kes Mahfuz sebelum menentukan sebarang keputusan.

Sudah tentu, Mahfuz banyak melakukan kesalahan ‘disiplin’ dan mudah dipecat dari parti.

Apa pun, sebagai orang lama, Mahfuz mungkin sedar risiko perbuatannya kepada parti.

Mahfuz sudah pasti sayang kepada Pas sebagai platform politik sejak zaman mudanya namun realiti berbeza.

Lagi pun, PAN sudah tentu menghulurkan tangan seluas-luasnya kepada Mahfuz menyertai mereka kerana PAN juga mendakwa mereka parti Islam.

Sudah tentu, semasa PRU-14 nanti, Mahfuz boleh bertanding tiket PAN dan cuba mengekalkan kedudukannya di Pokok Sena.

PAN juga beruntung jika ada Mahfuz memandangkan beliau dikenali sebagai wakil rakyat yang berpengalaman dan produktif di Parlimen selain sentiasa ada dalam sebarang perbahasan penting.

Kepada Pas, harap-harap Mahfuz merupakan mempelam harumanis terakhir dalam parti itu kerana Pas  tidak mampu lagi ada ahli berjiwa PAN demi survival politik mereka -MalaysiaGazette