Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid dan Kariah di negeri itu agar lebih bertanggungjawab dengan kenderaan jenazah.

Kenderaan itu, titah baginda, perlu dimanfaatkan oleh Ahli Jawatankuasa berkenaan hanya untuk urusan membawa jenazah sahaja, bukan diberi disewa bagi tujuan tertentu.

Titah baginda itu disampai Setiausahanya, Datuk Mohamad Munir Bani yang turut meminta Ahli Jawatankuasa berkenaan menjaga kenderaan jenazah dengan baik.

“Adalah saya dengan hormatnya menyampaikan titah Sultan Selangor kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid atau Ahli Jawatankuasa Kariah yang bertanggungjawab dengan kenderaan jenazah di seluruh negeri Selangor ini supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan mereka dan memanfaakan kenderaan itu untuk urusan membawa jenazah sahaja.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah itu disalahgunakan, selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada kena mengena dengan urusan pengendalian jenazah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Selasa minggu lalu, Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunus, mengemparkan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, kerana membawa beberapa van jenazah beserta keranda bagi tujuan demonstrasi.

Semua van berkenaan turut membawa keranda dengan sebuah daripadanya dipandu sendiri oleh Jamal yang memakai baju T dan melilit tuala di kepala.

Keranda berkenaan kemudian diusung di hadapan pintu masuk ke bangunan itu, yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri (SUK).

Menurut Mohamad Munir, perbuatan itu hanya akan melihatkan bahawa umat Islam mempersendakan penggunaan kenderaan jenazah yang tidak sepatutnya dilakukan.

Oleh itu, kata beliau, pihak yang menyelia dan mengawal kenderaan jenazah di Selangor hendaklah mengambil maklum dan mematuhi titah Sultan. – MalaysiaGazette